Sejarah Penubuhan Sekolah

Sekolah Kebangsaan Panchor, Kota Tinggi telah dibuka pada bulan Januari tahun 1935. Seorang guru merangkap Guru Besar iaitu Encik Abdul Rashid bin Rana telah ditugaskan berkhidmat di sekolah ini. Bilangan murid ketika itu ialah seramai 30 orang. Pada asalnya bangunan sekolah ini hanya diperbuat daripada papan dan beratapkan nipah. Bangunan ini telah didirikan secara gotong-royong oleh orang-orang kampong.

Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, sekolah ini telah ditutup, sebaliknya dijadikan pusat pemindahan orang-orang yang telah lari dari Johor Bahru dan Sungai Tiram. Bangunan sekolah ini kemudian telah dibakar oleh tentera Jepun. Setelah perang tamat, Sekolah Melayu Kampong Panchor telah dibuka semula pada tahun 1945 oleh kerajaan. Bangunan sekolah pada ketika itu merupakan sebuah rumah kampong yang disewa oleh Jabatan Pelajaran Johor dengan kadar sewa RM 15.00 sebulan.

Pada Mac 1961, Jabatan Pelajaran Johor telah membina bangunan batu yang mengandungi dua bilik darjah. Pembukaan rasmi sekolah ini telah dilakukan oleh Y.B Dato’ Hj. Hassan Yunos, Menteri Besar Johor pada 12 Ogos 1963. Di awal tahun 1985, dua buah bangunan pasang siap yang mengandungi empat buah bilik darjah telah dibina oleh Jabatan Pendidikan Johor dan ini merupakan bangunan tambahan kepada bangunan yang sudah sedia ada.

Menjelang akhir tahun 1999 bangunan baru 1 blok 4 tingkat dan 2 tingkat telah dibina dengan belanja RM 1.2juta. Projek ini merupakan projek mega di sekolah ini dan merupakan pembaharuan dalam menyediakan kelengkapan fizikal seperti pejabat, bilik guru, bilik mesyuarat, perpustakaan, bilik tayang, bilik muzik yang selesa dan berhawa dingin. Bangunan baru ini telah dapat digunakan pada April 2001.

0 comments:

Post a Comment

Share